Kisah Dari Madinah: Rezeki Tidak Pernah Salah Alamat

  • 15 Desember 2020
  • 989 views
Kisah Dari Madinah: Rezeki Tidak Pernah Salah Alamat

Hari ini ada pembahagian ayam di pasar Madinah, biasanya kalau tarikh luput makanan beku (frozen food) seperti ayam atau daging tinggal seminggu dua lagi, akan ada iklan di group whatsapp pelajar tentang pembahagian makanan secara percuma.

Pertama kali yang saya lakukan, saya bahagikan informasi tersebut di dalam group whatsapp jiran-jiran satu bangunan, yang semuanya terdiri dari pelajar-pelajar juga.

Selepas dua jam, ada jiran asal Mesir bertanya, masih sempatkah dia mengambilnya?

Saya kata insha Allah masih, tapi usahakan sebelum sholat zohor. Kerana biasanya setelah solat banyak kedai di pasar akan tutup.

Sedangkan tinggal 15 minit akan masuk waktu zohor. Sebaik sahaja selepas solat Zohor, jiran saya mengirimkan pesan: “Semoga Allah menganugerahkanmu dengan kebaikan dan menuliskan pahalamu, aku dah ambil satu karton Alhamdulillah.

Subhanallah, Allah benar-benar memberikan rezeki dari tempat yang tak di sangka-sangka, baru semalam anak-anak aku minta makan ayam, sedangkan kami tak memiliki ayam sama sekali, segala puji bagi Allah”.

Sebaik sahaja membaca pesan tersebut, entah kenapa hati ini terasa bagai ditikam bertalu-talu.

Saya terus membalasnya: “Aku minta maaf, aku tak tahu sama sekali, kenapa kau tak bagitahu aku? Tolong kalau engkau perlukan apa-apa beritahu aku!”

Dia menjawab: “Semoga Allah memuliakanmu wahai jiran yang soleh, aku hanya mahu memberitahu engkau agar engkau tahu, betapa besarnya pahala yang akan engkau dapatkan insha Allah“.

Tiba-tiba air mata mengalir. Entahlah siapa pula yang potong bawang hari ini.

Kadang kita hanya memikirkan diri sendiri, sehingga kita tidak lagi peduli pada orang di sekeliling kita.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

{مَا زَالَ يُوصِينِي جِبْرِيلُ بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ}

“Jibril selalu berpesan kepadaku untuk berbuat baik kepada jiran tetangga, sehingga aku mengira, dia akan ditetapkan menjadi ahli warisnya.” (HR. Bukhari dan Muslim).

*) Ditulis oleh Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh (PhD candidate in Faculty of Islamic Economy at Islamic University of Madinah), Madinah Nabawiyyah, 29 Rabiul Awwal 1442 H.

Ditulis oleh: News Admin

Konten Terkait